EKONOMI KEWANGAN & PERBANKAN ISLAM: Diskusi Ilmu : Perbankan Islam Buat Semua Sahabat

BERSAMA PAUTAN UKHWAH


Ukhwah.com :: Top Blog

"Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang telah menciptakan (sekalian makhluk),Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhanmu Yang MAHA Pemurah,Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan,Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya."

(Al Alaq: Ayat 1-5)

Yang Sedang Membaca:

Yang Sudah Membaca : website analysis

UNGKAPAN RASA

"Semua harus berusaha sekadar kemampuannya bagi menghulur kepakaran dan apa jua yang dimilikinya bagi merealisasikan konsep amar ma'ruf nahi mungkar iaitu sama-sama mengajak kepada kebaikan dan melarang antara satu sama lain dari melakukan kejahatan.

Nasihat tidak semestinya hanya datang dari seorang yang lebih soleh dan sempurna, kerana semua tiada kita yang terlepas dari dosa. Namun, jangan sesekali menjadikan dosa kita penghalang dari usaha memperbaiki masyarakat. Jika itu berlaku, sedarilah ia hanyalah tipu daya Syaitan."

Sabtu, Mac 27, 2010

Diskusi Ilmu : Perbankan Islam Buat Semua Sahabat

Sabtu, Mac 27, 2010

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera untuk rakan2 & sahabat2 yg mengikuti diskusi ilmiah ini.Sesungguhnya ini adalah suatu diskusi, dan saya berlapang dada dalam mengutarakan pandangan dan pendapat, bersandarkan kepada tahap kemampuan ilmu pengetahuan dan rujukan melalui bacaan2, ceramah dan kuliah2 yg diikuti. Sesungguhnya saya mengelak dari menetapkan, menentukan dan mengesahkan sebarang perkara hukum kerana ia berada diluar autoriti, kemampuan dan kepakaran saya selain dari apa yang semua telah sedia maklum secara umum.

Sekiranya dalam diskusi ini terdapat sebarang perkara yang mungkin saya terkhilaf, tersilap dan menyeleweng, semoga tuan2 dapat menegur dan membetulkan perkara2 tersebut semoga kita bersama2 mendapat hikmah darinya. Insyaallah.

Suka saya membuka diskusi ini dengan beberapa terjemahan ayat Al Quran dan hadis serta penulisan (pendapat & pandangan) yang membawa maksud;

  • Dan hendaklah ada di antara kamu segologan yang menyeru kepada kebaikan dan menyuruh dengan yang ma’ruf dan mencegah dari mungkar dan mereka adalah orang2 yang mendapat kemenangan - Surah Ali Imran: 104

  • Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu) dan pohonkanlah ampun bagi mereka dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya -Surah Ali Imran: 159

  • Dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang sabar. (46) Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang keluar dari negerinya dengan berlagak sombong dan menunjuk-nunjuk (kekuatan mereka) kepada orang ramai (kerana hendak meminta dipuji), serta mereka pula menghalang manusia dari jalan Allah dan (ingatlah) Allah Maha Meliputi pengetahuanNya akan apa yang mereka kerjakan. - Surah Al Anfal: 46-47

  • Apabila seorang di antara kamu meminta nasihat daripada saudaranya maka hendaklah ia memberi nasihat - Ibn Majah, Kitab Al Adab

  • Yunus al sadafi telah berkata: Saya tidak pernah berjumpa dengan orang lebih waras daripada al Syafi’i.Pada suatu hari saya telah berdebat dengannya dalam satu permasalahan.Kemudin kami pun berpisah.Kemudian dia berjumpa denganku, memegang tanganku seraya berkata : Wahai abu Musa bukankah kita sepatutnya bersaudara walaupun kita tidak bersetuju dalam satu satu permasalahan? - Al Imam Muhammad bin Idris al Syafi’i.

Semoga diskusi ini diikuti bersama sama dengan kefahaman atas ayat, hadis dan pendapat seperti diatas. Insyaallah.

Suka saya memberi pandangan atas persoalan yang diutarakan sahabat dalam perbualan di chatting. Saya telah meringkaskan persoalan dan pandangan beliau dalam 6 bahagian dan saya sedaya upaya memberi ulasan apa yg termampu.

Soalan 1 : Setahu saya akta bank negara syarikat perbankkan tidak boleh memiliki aset?

Saya tidak arif dalam perihal memahami ayat perundangan dan juga mengkaji akta. Walau bagaimana pun saya ada juga membuat semakkan perihal tersebut; oleh kerana sahabat tidak memberi rujukan lengkap atas isu itu, jadi untuk meneliti satu persatu dalam akta tersebut mungkin tidak sesuai bagi saya. Saya menemui perkara ini dalam Akta BAFIA 1989, tapi tidak pasti inikah yang isu Tuan maksudkan:

Akta Bafia 1989; Bahagian 9 Sekatan Sekatan Perniagaan Institusi Yang Di Lesenkan Seksyen No. 66 menyatakan: Perihal Sekatan Dalam Pelaburan;

Lebih kurang berbunyi begini; sesebuah bank tidak boleh membeli atau memegang (b) sesuatu asset tidak bergerak atau memiliki hak atau kepentingan keatasnya kecuali atas alasan yang munasabah untuk tujuan menjalankan perniagaannya, atau untuk kemudahan kediaman atau lain2 kemudahan untuk kakitangannya dan kes bersamaannya tertentu dengan mendapat kelulusan bank pusat.

Sekatan ini juga tidak terpakai jika asset tidak bergerak tersebut di pegang atas dasar sebagai cagaran kerana memberi satu kemudahan kredit kepada seseorang.

Ulasan – secara logik akal mana mungkin sesebuah bank itu terhalang dari memiliki asset, tujuan Seksyen mungkin bagus supaya pihak bank tidak menyalahkan gunakan wang pendeposit dengan mengumpulkan kekayaan melalui pemilikan2 saham2 serta harta juga hak hak dalam perniagaan. Saya berpendapat mungkin terdapat salah faham tentang perkara ini tanpa rujukan mendalam dibuat terlebih dahulu.

Soalan 2 : Tapi macam mana bank dalam sistem islamik boleh jual rumah atau kereta?

Ulasan – Saya rasa dengan penjelasan dan pandangan dalam ulasan pada perkara no.1 di atas, persoalan ini telah terjawab dengan sendirinya. Oleh yang demikian bank bank Islam boleh membeli kereta atau rumah untuk dijual kepada pembeli sepertimana yang diperuntukkan akta tersebut.

Soalan 3 : Sedangkan dalam Islam, setiap jual beli perlulah jelas tentang barang yang dimiliki, bank tak pernah memiliki rumah atau kereta dulu, peminjam berurusan dengan developer atau kedai kereta, deposit dibayar pada developer atau syarikat penjual kereta, kalau dari segi syarak bank perlulah membeli dahulu dari developer barulah sah hak milik.

Ulasan – Di Malaysia, perkara ini masih dalam kajian penambahbaikan dan memang kritikan2 terhadap perlakuan ini masih menjadi pertikaian. Ianya berkenaan dengan isu Legal Ownership (Pemilik Penuh Hak Undang2) vs Beneficial Ownership (Pemilik Hak Manafaat). Seperti yang kita semua sedia maklum, sebagai contoh mengenai pembelian rumah, dari tarikh pembelian, oleh kerana karenah birokrasi di pejabat2 pihak berkuasa yang berkenaan dan peruntukkan undang2 sedia ada pertukaran hakmilik boleh memakan masa berbulan2 lamanya. Keadaan ini boleh mewujudkan risiko2 lain dalam tempoh masa tersebut lantas boleh memudaratkan pihak2 yang terlibat.

Legal Ownership bermaksud pemindahan hakmilik dibuat dan disahkan dalam geran pemilikan apabila pembayaran secara penuh dibuat. Inilah perkara yang paling memakan masa yang lama prosesnya akibat dari karenah birokrasi2 tersebut.

Beneficial Ownership bermaksud satu pihak iaitu bank telah memiliki sesuatu asset sejurus dan setelah menandatangani beberapa dokumen berkaitan yang perlu dalam proses jual beli antara bank dan penjual.

Berbekalkan perjanjian jual beli (S&P agreement) antara si pembeli dan penjual, maka si pelanggan akan mula mencari bank Islam yang oleh memberikan pembiayaan perumahan kepadanya. Setelah menepati seluruh syarat-syarat yang ditetapkan oleh pihak Bank. Pihak Bank bersetuju untuk membeli rumah itu daripada pelanggan tadi dengan harga tertentu yang dipersetujui (iaitu sama jumlahnya setelah di tolak deposit) dengan bayaran tunai.

Dengan itu, rumah itu akan menjadi milik bank dan tanda pemilikan bank ke atas rumah itu adalah melalui satu surat ‘declaration of trust' dan sebuah ‘charge' sebagai tanda hak bank ke atas rumah tersebut. Bagaimanapun nama pemilik atas geran tidak akan ditulis nama Bank kerana ini bukanlah syarat dalam pemilikan Islam dan hanyalah bersifat urusan rasmi ‘formality'.

Setelah pemilikan ini sah di sisi undang-undang Negara dan diiktiraf oleh Shariah, maka pihak bank Islam akan menjualkan rumah (yang telah dibelinya tadi) itu kepada pelanggan yang sama dengan harga baru (merangkumi modal berserta kadar keuntungan yang di tetapkan).

Secara umumnya, kaedah BBA ini secara majoritinya ulama di Malaysia dan Brunei mengharuskannya dan seharusnya juga dalam masa yang sama memperbaiki lagi kaedah pembiayaan ini berdasarkan pandangan dan kritikan terutamanya perkara berkenaan legal ownership tadi, maka pihak kerajaan harus juga meminda banyak perkara dalam akta2 dan undang2 yang berkaitan agar perkara2 yang menimbulkan syubhah dapat dielakkan. Wallahualam.

Kesimpulannya : Pertikaian ini terjadi kerana terdapatnya kekangan2 dalam perihal perundangan konvensional yg diguna pakai sejak kemerdekaan lagi, yang menyulitkan kaedah perbankan Islam ini dijalankan dengan sempurna seperti yang dituntut syariat.Walau bagaimanapun atas dasar akan kepentingan perkara Muamalat ini para ilmuan dan ulama berusaha mengkaji, mendalami dan memahami dan berijtihad dalam mencapai kesepakatan kepada pengharusan perkara ini. Selebihnya kita berserah kepada Allah kerana Dia Maha Mengetahui. Rujuk surah Ali Imran : 159.

Sumber Rujukan & Penulisan:

Soalan 4 : Lembaga penasihat terdiri daripada mufti dan ulama yang ahli dalam bidangnya tidak boleh memikul tanggungjawab dunia & akhirat atas kesalahan dalam menentukan halal atau haram, mereka hanya boleh memberikan hujah, mereka semua hanya boleh memberikan hujah...

Suka saya merujuk perkara ini melalui petikan terjemahan Al Quran dan hadis seperti berikut:

  • Maka bertanyalah kepada orang orang yang berpengetahuan, jika kamu tidak mengetahui - Surah al Nahl 16:43

  • Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya. - Surah al Isra 17:36

  • Apakah mereka tidak mahu bertanya apabila mereka tidak tahu, sesungguhnya ubat bagi penyakit ialah bertanya - Riwayat Abu Dawud dan Al Dar Quthni

  • Sesiapa yang berfatwa dengan fatwa yang tidak sabit dengan ilmu sesungguhnya dia menanggung dosa orang yang meneriwa fatwanya itu - Riwayat Abu Dawud ,al Hakimi dan al Darimi

  • Apabila seorang hakim memberi keputusan, lalu ia berijtihad, kemudian ia benar maka baginya dua pahala, dan jika ia memberi keputusan, lalu ia berijtihad kemudian salah, maka baginya satu pahala Riwayat Bukhari dan Muslim

Mengikut penulisan Ustaz Fariq bin Gasim Anuz, Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah menjelaskan bahwa tidaklah setiap orang yang berijtihad dapat mencapai kebenaran. Tetapi selama ia berdalil dan bertaqwa kepada Allah sesuai dengan kesanggupannya, maka itulah yang Allah bebankan kepadanya. Allah tidak akan menghukumnya apabila ia salah. Ancaman dan hukuman itu baru berlaku bagi orang yang meninggalkan perintah dan melanggar larangan setelah tegak hujjah kepadanya (rujuk Majmu Fatawa juz 19, hal. 213, 216, 217,227). Ijtihad yang salah ini tidak boleh diikuti apabila kita mengetahui mana yang benar dan mana yang salah karena kita dituntut untuk mengikuti dalil, bukan mengikuti manusia.

Memetik perkataan beliau lagi(Ustaz Fariq),memang di antara perselisihan antara ulama ada hal-hal yang susah dipastikan mana yang benar dan mana yang salah. Tetapi banyak sekali di antara perselisihan tersebut terjadi dalam perkara-perkara ijtihadiyah yang dapat diupayakan kesepakatannya. Sudahkah kita berusaha semaksimal mungkin untuk mencari kata sepakat? Sudahkah kita berusaha menghilangkan kebodohan dari masyarakat kita berupa ta’ashub atau fanatik, baik fanatik hizbi (kelompok) ataupun madzhabi, juga kultus individu? Ataukah kita pura-pura bodoh akan kebenaran yang ada di depan mata kita lalu menolaknya karena mengikuti hawa nafsu atau berdalih dengan ucapan “Kebenaran itu banyak!”.

Ulasan – Melihat dari sumber2 rujukan yang saya ketengahkan dan melalui bacaan, bahawa seseorang ulama atau mufti itu amat berat tanggungjawabnya, iaitu sebagai menjadi sumber perujuk kepada permasalahan agama. Untuk memberi sebarang pandangan atau fatwa atau ijtihad mengenai hukum atau menetapkan hukum perlulah ia menguasai dan mahir dan kefahaman dalam segala cabang ilmu Al Quran, dalil2, nas2, penguasaan bahasa dan lain2 yg berkaitan sebelum layak untuk memberi fatwa atau ijtihadnya berkaitan sesuatu permasalahan.

Sebagaimana ditekankan mengenai perlunya dan pentingnya ilmu pengetahuan dan kefahaman yang baik, maka sebarang hujah yang tidak bersandarkan kepada ilmu tapi sebaliknya kepada hawa nafsu semata2 maka menanggunglah akan dia dosa tetapi sekiranya ia bersandarkan ilmu dan telah memenuhi syarat ijtihad tetapi masih tersilap maka kuranglah pahalanya, sebagaimana riwayat hadis dan pendapat Imam Ibn Taimiyah seperti diatas. Wallahualam.

Sumber rujukan dan penulisan:

Soalan 5 : Antara hujah2 mereka yang ahli ini, akan digunakan oleh khilafah sebagai sumber rujukan untuk memilih keputusan yang syarie, khilafah yang sepatutnya memikul tanggungjawab dunia & akhirat atas kemashalatan umah, bukannya ulama & mufti ini kerana dalam sesetengah pendapat mufti & ulama besar pun menggelirukan umat, sebagai contoh ana terbitkan, ada ulama besar dunia islam yang mengajak dunia islam memboikot barang2 seperti makanan kfc, cola, dan sebagainya, di mana barang itu dihasilkan oleh syarikat yahudi atau israel, sedangkan dalam hukum benda, Allah menghalalkan ayam yang disembelih atas nama Allah hukumnya halal dimakan, jadi dekat mana yang haramnya, adakah kerana ia menyumbang kepada pembunuhan orang, kalau boikot pun, terhentikah orang2 yahudi @ israel daripada membunuh saudara kita di palestin, tidakkah itu namanya mengharamkan apa yang Allah halalkan?

Ulasan 1 - Saya bersetuju atas pandangan sahabat, mengenai pemimpin (Umara) yang seharusnya memikul tanggungjawab atas kemashalatan umah apabila telah dinasihatkan oleh para mufti & ulama yang benar2 berilmu dan memenuhi syarat2 atas orang2 yang benar2 berkebolehan dan berkelayakan dalam memperjelas, menterjemah dan berijtihad dalam hal2 agama sebagaimana hadis berikut;

  • Sesiapa yang ingin menasihati pemerintah berkenaan sesuatu urusan maka janganlah dizahirkan secara terang terangan tetapi hendaklah memimpin tangannya ke tempat sunyi, sekiranya dia menerima nasihat maka niatnya telah tercapai, tetapi sekiranya ia enggan menerima nasihat maka sesungguhnya orang telah memberi nasihat telah pun melaksanakan tugasnya. - Hadis Riwayat Imam Ahmad

Ulasan 2 – Perkara boikot atas perihal yang disahkan halal oleh JAKIM di Malaysia i.e. KFC & Coca Cola sebagai contoh. Saya berpendapat bahawa sahabat mungkin tidak berapa kritikal dalam memahami perspektif pandangan ulama besar tersebut. Pada pandangan saya, ulama tersebut bukanlah mengharamkan apa yang halal dimakan atau minum, tetapi ia mengharamkan akan sumbangan melalui pembelian barangan yang berkaitan dengan syarikat Yahudi Israel atau Amerika yang bersekongkol dengan Zionis. Saya sertakan sedikit ulasan beliau atas perkara itu;

  • Syeikh Qaradhawi mengatakan, satu real yang kita belanjakan untuk produk Israel dan AS, sama dengan satu peluru merobek tubuh anak Palestina.


  • Syeikh Qaradhawi mengatakan bahawa setiap dollar yang kita bayarkan untuk sebotol Coca-Cola, misalnya, akan menjadi sebuah peluru yang dalam persenjataan perang orang-orang Amerika atau Israel akan dibidikkan langsung ke arah kita. Beliau mengatakan bahawa adalah haram dalam hal ini.


  • Hari ini kita melihat saudara dan anak-anak kita di Al-Aqsa dan Palestin mengorbankan darah mereka, menyerahkan jiwa mereka di jalan Allah. Seluruh umat Islam mesti membantu mereka dengan apa jua kuasa yang mereka ada.

Dan mungkin antara hadis2 atau ayat2 al Quran yang mungkin diguna pakai oleh beliau dalam memaklumkan perkara tersebut;

  • Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah dan orang-orang (Ansar) yang memberi tempat kediaman dan pertolongan (kepada orang-orang Islam yang berhijrah itu), mereka semuanya menjadi penyokong dan pembela antara satu dengan yang lain. Dan orang-orang yang beriman yang belum berhijrah, maka kamu tidak bertanggungjawab sedikitpun untuk membela mereka sehingga mereka berhijrah dan jika mereka meminta pertolongan kepada kamu dalam perkara (menentang musuh untuk membela) agama, maka wajiblah kamu menolongnya, kecuali terhadap kaum yang ada perjanjian setia di antara kamu dengan mereka dan (ingatlah) Allah Maha Melihat akan apa yang kamu lakukan.Dan orang-orang yang kafir, setengahnya menjadi penyokong dan pembela bagi setengahnya yang lain. Jika kamu (wahai umat Islam) tidak menjalankan (dasar bantu-membantu sesama sendiri yang diperintahkan oleh Allah) itu, nescaya akan berlakulah fitnah (kekacauan) di muka bumi dan kerosakan yang besar. - Suran al Anfal 8: 72-73


  • Tolonglah saudaramu yang dzalim atau yang didzalimi (teraniaya). Para sahahabat bertanya:“Wahai Rasulullah. Kami jelas akan menolong yang didzalimi, lalu bagaimana kami menolong saudara kami yang dzalim?” Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam bersabda: “Yakni kamu tahan tangannya agar tidak berbuat dzalim. - Hadis Riwayat Shahih Bukhari


  • Perangilah kaum musyrik itu dengan harta, jiwa dan lisan kalian - Hadis Riwayat Abu Dawud & Nasa’i

Dan antara kaedah Fiqh yg berbunyi:

  • Mencegah kerosakkan adalah didulukan daripada membuat kebaikkan

  • Bahaya yang lebih kecil dipilih daripada bahaya yang lebih besar

Saya juga berpendapat bahawa barangan itu (KFC & Cola) ada mempunyai barang ganti yang di keluarkan dalam negara kita dan syarikat orang islam juga ada , jadi masalah tidak seharusnya berbangkit di sini. Apa yang utama ialah melumpuhkan ekonomi Yahudi Zionis sekaligus akan membuatkan sekutu2 mereka akan bertempias dari perihal ekonomi mereka dan secara langsung melemahkan kuasa ekonomi mereka.

Dalam proses tersebut, ia akan memberi impak kepada perniagaan serta pekerjanya yang terlibat di Malaysia, namun kaedah Fiqh yang di jelaskan tadi mungkin terpakai dalam menyelamatkan sebuah negara, agama dan rakyatnya.Wallahualam.

Sumber Rujukan & Penulisan:

Soalan 6 :Tapi bila side yang Allah haramkan seperti insuran mereka ini menghalalkan pula, mereka itu menghalalkan cara, mencari jalan untuk menghalalkan benda yang terang haram, mereka menipu umat islam dengan menghalalkan cara apakah mereka2 yang ahli ini benar2 arif dalam bidangnya, manakah pergi ulama2 & mufti tadi? Adakah mereka boleh dipertanggungjawabkan atas apa yang mereka putuskan? Adakah mereka berpendidikan rendah? Atau tak cukup tinggikah pembelajaran al-azhar? Atau juga mereka pun terlibat sama dalam berkepentingan? Ini bukan caranya untuk lari dari kemaslahatan umat, jangan terlalu mudah menyelesaikan maslahat umat, jangan salah bas untuk menuju destinasi…

Ulasan – Dalam perkara insuran telah terdapat 3 kumpulan para2 ulama yang mempunyai pandangan2 yang berbagai antaranya:

  • Ulama2 yang mengharuskan semua bentuk insuran – mempertahankan pendapat mereka atas alasan Ianya berteraskan konsep at-ta’awun iaitu tolong menolong


  • Ulama2 yang mengharamkan semua insuran yang berbentuk perniagaan – mempertahankan pendapat bahawa akad insuran adalah fasid, iaitu rosak selain unsur2 gharar. Ini merupakan golongan majoriti atau dominan dalam mengusulkan insuran adalah haram.


  • Ulama2 yang mengharuskan sebahagian dan mengharamkan sebahagian yang lain – kebanyakkan mengharuskan insuran perlindungan kemalangan dan kerosakkan harta benda tetapi mengharamkan insuran nyawa.

Saya berpendapat bahawa perkara ini mungkin akibat dari khilaf ataupun nama lainnya ikthilaf.

  • Ikhtilaf dari segi bahasa bermaksud ialah tiada ittifaq (sepakat) pada sesuatu.

  • Khilaf pada istilah fuqaha pula ialah setiap orang alim berpendapat kepada berlawanan dengan apa yang dikatakan yang lain, iaitu lawan kepada ittifaq.

Sebab terjadi khilaf secara ringkasnya seperti berikut;

  • Kejahilan – kurang berilmu dan usaha menambah ilmu

  • Kezaliman dan melampaui batas

  • Mengikut hawa nafsu

  • Rasa kagum dengan pendapat sendiri

  • Taksub kepada satu2 pendapat atau mazhab

  • Taklid atau Pak Turut

Suka saya merujuk kepada terjemahan Al quran dan hadis nabi seperti berikut;

  • Dan kalaulah Tuhanmu (wahai Muhammad) menghendaki, tentulah Dia menjadikan umat manusia semuanya menurut agama yang satu. (Tetapi Dia tidak berbuat demikian) dan kerana itulah mereka terus-menerus berselisihan.Tetapi orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanmu, (mereka bersatu di dalam agama Allah) dan untuk (perselisihan dan rahmat) itulah Allah menjadikan manusia dan dengan yang demikian sempurnalah janji Tuhanmu: Sesungguhnya Aku akan memenuhi Neraka Jahanam dengan sekalian jin dan manusia (yang berdosa) - Surah Hud 11:118-119


  • Hendaklah kamu bersatu (berjemaah) dan hindarilah perpecahan. Sesungguhnya syaitan itu bersama seorang individu (yang berseorangan). Syaitan agak jauh daripada dua individu. Sesiapa yang inginkan pusat syurga, hendaklah dia berpegang kepada jamaah - Hadis Riwayat At Tirmidzi

Mengenai pertikaian saudara terhadap ahli ilmu dalam bidangnya, saya amat berdukacita kerana seolah saudara mempersoalkan sumbangannya dalam bersama2 mengembangkan pemikiran Islam sedangkan seorang ahli ilmu haruslah dihormati, sebagaimana firman Allah dan hadis nabi;

  • Dan Nabi mereka pula berkata kepada mereka: Bahawasanya Allah telah melantik Talut menjadi raja bagi kamu. Mereka menjawab: Bagaimana dia mendapat kuasa memerintah kami sedang kami lebih berhak dengan kuasa pemerintahan itu daripadanya dan dia pula tidak diberi keluasan harta kekayaan? Nabi mereka berkata: Sesungguhnya Allah telah memilihnya (Talut) menjadi raja kamu dan telah mengurniakannya kelebihan dalam lapangan ilmu pengetahuan dan kegagahan tubuh badan dan (ingatlah), Allah jualah yang memberikan kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang dikehendakiNya dan Allah Maha Luas (rahmatNya dan pengurniaanNya), lagi meliputi ilmuNya - Surah al Baqarah 2:247


  • Dan tidaklah Kami mengutus Rasul-rasul sebelummu (wahai Muhammad), melainkan dari kalangan orang-orang lelaki, yang Kami wahyukan kepada mereka. Oleh itu bertanyalah kamu (wahai golongan musyrik) kepada orang-orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahui. - Surah al Nahl 16:43

Sesungguhnya ilmu Allah itu amat luas, ilmu yang pada ahli ilmu ibarat setitis air di lautan apakan lagi kita sebagai orang awam yang lagi terhad pemahaman dan pengetahuan tentangnya. Oleh yang demikian hendaklah kita sentiasa bersangka baik seperti dianjurkan dalam firman Allah;

  • Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani. - Surah al Hujurat 49:12

Ulasan terakhir saya mengenai : Jangan sampai salah naik bas menuju destinasi; sebagaimana yang diberitahu oleh Nabi hanya akan ada satu golongan sahaja yang akan masuk syurga daripada banyak golongan Islam yang ada sekarang, jadi marilah kita bersama2 berdoa, memperkuat ukhwah, bekerjasama, berfikir mencari penyelesaian terbaik, mengambil peluang, menunaikan tanggungjawab yang diberikan oleh undang2 dalam menegakkan Islam di negara tercinta agar, insyaallah itulah satu golongan itu pabila semua bersatu di dalamnya sebagaimana firman Allah ;

  • Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat - Surah al Hujurat 49:10

Semoga Allah memberkati atas usaha2 kita kearah kebaikan, Insyaallah. Saya tamatkan diskusi ini dan sesungguhnya yang baik itu datang dari Allah dan yang salah & silap itu datang dari diri saya sendiri dan maaf dipohon.

Semoga kita beroleh iktibar dari diskusi ini. Insyaallah.

Sumber Rujukan & Penulisan:

  • Ustaz fadlan Mohd Othman & Anors – Khilaf Dalam Islam, Sebab dan Adab – Perniagaan Jahabersa

  • Ahmad Tarmizi Ismail – Insuran Menurut Perspektif Islam – Pustaka Darulsalam – 2004

  • Majalah Al Islam – April 2010 Bil 435 – Utusan Karya Sdn Bhd

1 ulasan:

husna berkata...

assalamualaikum..
bolehkah saya tahu pandangan orang bukan islam terhadap konsep-konsep yang dilaksanakan di bank islam seperti mudharabah,syirkah,ijarah wadi'ah dan sebagainya?

 
◄Design by Pocket Distributed by Deluxe Templates